Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pasukan akan mempunyai masa untuk mengubah sebarang taktikal berdasarkan dengan peraturan baharu untuk mengejar kemenangan sehingga ke akhir perlawanan.

Pendapat itu disuarakan Kim Swee selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tiada lagi penggunaan format kelebihan jaringan tempat lawan dalam saingan kalah mati.

Dengan pemansuhan ini, bermakna perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.

Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Bahkan, dengan perubahan peraturan ini, pasukan akan berdepan perlawanan yang lebih menarik sehingga ke penghujungnya dan paling penting adalah tidak perlu lagi memikirkan sebarang kelebihan yang ada pada pihak lawan.

“Saya gembira perkara ini dimaklumkan lebih awal, jadi pasukan boleh bersiap sedia tentang apa yang perlu dilakukan kerana kita sudah terbiasa dengan peraturan gol di tempat lawan.”

“Jadi, sudah tentu taktikal setiap pasukan akan berbeza kerana semua pasukan akan mengejar untuk kemenangan dan tidak terlalu memikirkan gawang mereka akan dibolosi jika beraksi di tempat sendiri.”

“Sebelum ini jika bermain di tempat sendiri dahulu dan dibolosi terlebih awal, sudah tentu pasukan terpaksa mendapatkan dua gol bagi padamkan kelebihan jaringan lawan.”

“Jadi, tanpa lagi gol di tempat lawan, saya jangkakan perlawanan jadi lebih menarik kerana pasukan akan beraksi lebih terbuka dan ini sesuatu yang baik kepada penonton bagi melihat perlawanan yang lebih menghiburkan,” ujar Ong Kim Swee yang akan bertandang ke Shah Alam bertemu UiTM FC.

Pemansuhan format tersebut akan berkuatkuasa dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada 26 dan 27 Oktober 2022.